BATU PAHAT – Perbuatan wanita lewat
30-an yang dipercayai menduakan suaminya dengan menikahi lelaki lain,
terbongkar apabila dokumen pernikahannya dengan doktor ditemui pihak
berkuasa.
Bertindak hasil aduan orang ramai dan
siasatan selama beberapa hari, serbuan Bahagian Penguat Kuasa Jabatan
Agama Islam Johor (Jaij) Batu Pahat dilakukan di sebuah vila semasa
Operasi Ambang Tahun Baru, kira-kira jam 2 pagi semalam.
Timbalan Ketua Penguat Kuasa Jaij Daerah
Batu Pahat, Saiful Ariffin Mohd Sopah berkata, setelah menerima aduan,
pihaknya melakukan semakan dengan pihak berkuasa di Thailand dan
mendapatkan salinan dokumen pernikahan wanita terbabit.
Katanya, semasa serbuan dilakukan, pada
mulanya wanita berkenaan enggan mengaku bernikah secara senyap di
selatan Thailand bersama seorang lelaki berusia 40-an, yang turut berada
di rumah berkenaan.
Mereka bernikah di Thailand Julai lalu.
“Kami berjaya mendapatkan salinan
dokumen pernikahan mereka, namun serbuan dilakukan untuk mendapatkan
salinan asal surat nikah berkenaan dan bukti yang lebih kukuh kami
peroleh iaitu gambar pernikahan mereka.
“Begitu licik wanita ini. Setelah hampir
satu jam kami mencari, namun dokumen berkenaan gagal kami temui.
Bagaimanapun setelah didesak beberapa kali, akhirnya dia mengaku telah
bernikah dan dokumen berkenaan disorok dalam kotak kasut yang diletakkan
di bonet kereta.
“Kami difahamkan doktor yang menjadi
‘suami kedua’ diberitahu yang wanita terbabit sudah bercerai dengan
suami pertamanya,” katanya.
Saiful berkata, kes seumpama itu kali
pertama berlaku di daerah ini dan rumit diselesaikan kerana perlu
dilakukan dengan teliti kerana banyak kesalahan dilakukan.
Beliau berkata, buat masa ini, pihaknya
membuka kertas siasatan mengikut Seksyen 27(1)(a)(b) Enakmen Kesalahan
Jenayah Syariah Johor 1997 dan siasatan terperinci akan dilakukan
berhubung perceraian yang didakwa oleh wanita terbabit dengan suami
pertamanya.
“Saya harap kes seperti ini dijadikan
iktibar dan jika ada kemusykilan terhadap nikah atau kahwin, orang ramai
boleh buat rujukan kepada kami.
“Kami akan terus cari punca sebenar dan bantu selesaikannya kerana tidak boleh wanita mempunyai dua suami dalam satu-satu masa.
“Jika wanita ingin berkahwin lain, dia
perlu melalui proses perceraian dengan suami terdahulu, namun ia juga
perlu melalui hukum ditetapkan syarak,” katanya. – Sinar Harian Online
0 Komen:
Catat Ulasan
Komen yang dianggap mempunyai unsur penghinaan,kata-kata kesat dan yang boleh mengaibkan seseorang akan dipadam oleh Mr. Pensil tanpa sebarang makluman.Jadi, jagalah bahasa anda.Terima kasih.